Judul : Mawar Syurga
Penulis : Fatimah Saidin
No. ISBN : 9789674301149
Harga : RM 30.00
No. Resit : ITBM01000789
Sumber: Koleksi peribadi DanauKalbu
Menguliti kisah hidup Mariam
umpama sedang menonton sebuah ceritera cinta seorang wanita yang tidak berpenghujung.
Penulis membawakan pembaca untuk bersama-sama menyelami hasrat wanita dalam
sesebuah kehidupan bermula seawal pengajian sehingga memiliki keluarga sendiri.
Kecekalan Mariam dalam menongkah badai yang berulang menghempas hidupnya
menyuntik semangat luar biasa kepada sesiapa sahaja khususnya wanita yang
membaca novel ini untuk bangkit memperjuangkan kehidupan berlandaskan agama.
Novel “Mawar Syurga” karya
Fatimah Saidin memaparkan kelincahan seorang gadis yang bergelar “The Best Planner” dalam setiap cabaran
dan ujian yang ditempuh. Namun, setiap perjalanan yang terlakar tidak akan
selalunya dilalui dengan mudah. Fatimah Saidin memaparkan nilai tidak putus asa
sepanjang pengkisahan hidup seorang Mariam ini. Perwatakan Mariam yang tidak
pernah berpatah arang diteruskan dengan episod baru dalam hidupnya yang beralih
daripada seorang gadis kepada seorang wanita yang mengakhiri zaman gadisnya
dengan seorang lelaki yang menghidapi inferiority
complex dan mempunyai ciri-ciri Oppositional
Defiant Disorder.
Pelbagai ilmu bantu berkaitan
bidang psikologi yang digarapkan oleh penulis benar-benar memberi kesan kerana
membawa pembaca menggali maklumat tambahan mengenai setiap ilmu bantu yang
diketengahkan. Hal ini menjadikan novel “Mawar Syurga” sebagai sebuah bahan
bacaan yang berbeza berbanding novel lain kerana mencetuskan pembaca mengenai
satu kesedaran tentang pahit maung yang harus dihadapi bagi mencapai kemanisan
dalam kehidupan berumah tangga bagi seorang wanita. Penulis dilihat lari
daripada anggapan tabu bahawa “hidup
tidak seindah cerita novel” apabila memaparkan satu demi satu ujian yang
dihadapi Mariam.
Bunga
mawar menjadi simbol kepada perjalanan dan penghujung yang ingin dicapai sepanjang
alam berumah tangga yang ditempuh Mariam. Simboliknya bunga mawar bagi seorang
wanita ialah cantik dan mekarnya sekuntum mawar itu, sukar untuk dipetik kerana
mempunyai duri-duri yang menghalangnya. Begitulah juga tamsilan yang dikisahkan
menerusi Mariam yang mengimpikan sebuah rumah tangga umpawa mawar syurga. “Mawar
Syurga” menjentik minda pembaca agar berfikir bahawa, bagaimana sukarnya untuk
menjadi dan mendapatkan sekuntum mawar, begitulah juga sukarnya untuk
menjadikan mawar itu sebagai mawar syurga. Sebuah simbolik yang menarik hati
kecil wanita untuk terus mengimpikan bingkisan hidup seindah mawar syurga.
DanauKalbu: Ulasan tertera di atas adalah cubaan menulis ulasan buku bersempena Peraduan Ulas Buku ITBM 2014. :)
No comments:
Post a Comment